
NILAI, 22 Ogos – Kontinjen berbasikal wanita Terengganu mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan bukan sekali, tetapi dua kali pada hari yang sama.
Pencapaian membanggakan itu sekaligus memberi emas kepada pasukan dalam acara Women Team Pursuit 4,000 meter di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.
Jurulatih Berbasikal Trek Wanita Terengganu, Norashidee Ghifary Adam berkata, pencapaian berkenaan sebenarnya tidak adalah dijangka.
“Memang kita dari awal memang target untuk dapat pingat emas dalam temasya SUKMA ini.
“Tapi saya tidak menjangkakan yang kita dapat memecah rekod kebangsaan.
“Rasa macam terkejutlah dengan prestasi atlet kita pada kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Kuartet negeri tadi dibarisi oleh Nur Aieris Madhiah Mohd Adni, Nur Aierin Wadhiah Mohd Adni, Ameera Alya Md Zahirrudin dan Dahlia Hazwani Hasyim.
Terdahulu, kumpulan wanita memecahkan rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan dengan catatan 4 minit 46.824 saat, mengatasi rekod terdahulu milik Johor (4:47.317) pada SUKMA 2022.
Lebih membanggakan, kuartet berkenaan sekali lagi memperbaharui rekod sendiri pada perlumbaan akhir dengan catatan 4:42 (4:41.759) saat.
Terengganu merekodkan kelajuan purata sekitar 51.107 kilometer sejam mendahului Johor dengan catatan 4:50.591 saat dan kelajuan purata 49.55 kilometer sejam.
Norashidee juga berkata, Johor mendahului dua pusingan awal sebelum anak didiknya berjaya meningkatkan momentum kepada kedudukan pendahulu.
Kejayaan bersejarah itu tadi turut mengakhiri penantian lapan tahun Terengganu untuk meraih emas dalam acara tersebut sejak SUKMA Perak 2018.
Dalam pada itu, pasukan berbasikal lelaki juga berjaya meraih gangsa dalam acara sama dengan Johor muncul sebagai juara manakala Perak ditempat kedua.
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

