
SHAH ALAM, 8 September – Pasukan Para Olahraga Terengganu menyumbang dua pingat Perak dan dua Gangsa pada hari kedua temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sehingga malam tadi.
Pingat perak pertama diraih Ahmad Zuaiman Shamsuddin dalam acara LF13 Merejam Lembing dengan catatan jarak terbaik 41.31 meter.
Pemenang pingat emas dalam Sukan Para Asean 2025 lalu itu, terpaksa akur dengan aksi konsisten atlet Selangor, Badrul Hisam Musa yang mencatatkan jarak 44.01m untuk muncul sebagai juara.
Dalam acara 400m T13 Lelaki pula, Muhammad Kalish Taqiuddin mencatatkan masa 55.010 saat untuk meraih satu lagi pingat Perak buat Kontinjen Terengganu.
Secara peribadi, Kalish telah mengumpul dua pingat setelah meraih pingat gangsa dalam acara 1500m T13 semalam.
Manakala pingat Gangsa diperolehi Solehah Muzdaliefah Mustafa dalam acara Lontar Peluru F13 dan Ahmad Akasyah Yahya menerusi acara Merejam Lembing LF40.
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

