
SHAH ALAM, 7 September – Cuaca jerebu yang melanda Selagor ketika ini tidak menjadi halangan untuk atlet-atlet Para Negeri Terengganu beraksi dengan baik dalam temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, setakat ini perkembangan hampir keseluruhan atlet Terengganu agak positif dan masing-masing bersemangat.
“Tetapi, kita menyedari sebahagian daripada mereka masih di peringkat permulaan menyertai para SUKMA dan ada yang telah berpengalaman.
“Pencapaian kita buat masa ni hanya dua emas dengan keseluruhan tujuh pingat berjaya diraih (4 Perak, 1 Gangsa).
“Hasil daripada penangguhan acara olahraga semalam, juga memberi kesan sebenarnya apabila sebahagian daripada atlet ini terganggu.
“Itu, saya rasa semua berdepan dengan situasi yang sama, apatah lagi atlet para ini perlukan sentuhan dan penjagaan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas acara Olahraga di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.
Tambahnya, kesihatan para atlet juga dijaga dengan rapi oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan kerjasama pelbagai agensi terlibat.
“Cuma, saya dimaklumkan ada seorang atlet yang berkeuzuran. Ada demam dan berlaku muntah-muntah.
“Tetapi, saya dimaklumkan ia terkawal dan tidak kritikal, insya-Allah dia akan sembuh,” katanya.
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

