
SEPANG, 18 Ogos – Kontinjen berbasikal Terengganu meraih empat pingat menerusi tiga acara berbasikal lebuh raya pada saingan hari ini.
Dalam acara lepas beramai-ramai individu lelaki, Saniy Syu’aib Mohd Safiee menghadiahkan pingat gangsa kepada Terengganu selepas mencatat masa 02:51:19.
Pingat emas menjadi milik pelumba Selangor, Nasrul Firas Ridzuan, manakala pelumba Johor, Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman, meraih perak dengan kedua-duanya merekodkan masa 02:51:14.
Saniy Syu’aib turut meraih satu lagi gangsa dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan lelaki apabila skuad negeri itu mencatat masa keseluruhan 08:34:21.
Selangor muncul juara dengan catatan 08:34:16, diikuti Johor yang turut merekodkan masa sama untuk perak.
Sementara itu, saingan kriterium wanita menyaksikan Terengganu meraih dua pingat menerusi Ameera Alya Md. Zahirrudin yang memenangi perak dengan kutipan 12 mata dan Nur Aieris Madhiah Mohd Adni gangsa (11 mata).
Pingat emas acara berkenaan menjadi milik pelumba Kedah, Nurul Nabilah Mohd Asri dengan 21 mata.
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

