10/08/2026
MSNT

SUKMA 2026: Atlet Lawn Bowl Bersama Bapa Angkat & Jabatan Angkat

msnt sukma 2026 005 001

Majlis Ramah Mesra Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Pasukan Lawn Bowl SUKMA XXII Selangor 2026

Program Ramah Mesra Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Pasukan Lawn Bowl SUKMA XXII Selangor 2026 telah berlangsung petang ini sebagai platform memperkukuhkan semangat, motivasi dan kebersamaan dalam kalangan atlet serta barisan pengurusan pasukan menjelang temasya SUKMA XXII Selangor 2026.

Majlis telah dihadiri oleh YB Dr. Haji Mamad bin Puteh selaku Bapa Angkat pasukan, YB Hajah Zuraida binti Md Noor, Timbalan Ketua Kontinjen 2 (DCDM2) SUKMA Terengganu 2026, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, wakil Jabatan Angkat iaitu Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, serta Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (Pendaftaran) Terengganu yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Pasukan Lawn Bowl SUKMA Terengganu.

Dalam ucapannya, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu menyeru seluruh atlet agar menjadikan setiap pengalaman dan cabaran yang dilalui sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki prestasi. Beliau berharap pasukan dapat memanfaatkan segala persiapan yang telah dirancang, mengekalkan disiplin serta fokus dalam latihan, dan berusaha mencapai sasaran KPI yang telah ditetapkan bagi sukan Lawn Bowl di SUKMA kali ini.

Sementara itu, YB Dr. Haji Mamad bin Puteh menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan pasukan Lawn Bowl Terengganu untuk memberikan saingan terbaik di Selangor. Beliau turut berpesan agar para atlet sentiasa mengekalkan semangat juang yang tinggi, saling menyokong antara satu sama lain dan berjuang dengan penuh komitmen demi mengharumkan nama Negeri Terengganu.

YB Hajah Zuraida binti Md Noor pula berharap seluruh warga pasukan terus bersatu hati, mengekalkan fokus sepanjang kejohanan serta memberikan persembahan terbaik demi merealisasikan sasaran kontinjen Terengganu pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Semoga pasukan Lawn Bowl Terengganu terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA.

Sumber: Facebook Cdm Tranung
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

Previous Article

SUKMA 2026: Atlet Silat Bersama Majlis Daerah Marang