

SHAH ALAM, 24 Ogos – Pasukan Boling Padang menghadiahkan satu pingat emas dan satu perak buat kontinjen Terengganu di hari penutup sukan tersebut dalam Sukan Malaysia (SUKMA), semalam.
Pingat emas diraih dalam acara Fours Lelaki yang diwakili Muhammad Irsyad, Muhammad Ikram Solihin, Muhammad Humaidi, Muhammad Fairuz Iskandar dan Muhammad Asyraf Danial yang mengalahkan pasukan Pahang dengan keputuan 13-5.
Manakala, pingat Perak dimenangi Muhammad Hafiy Darwisy Mohd Hadri dalam acara Single Lelaki dengan catatan skor 14-17 setelah tewas kepada pesaing dari Selangor.
Menurut ketua jurulatih pasukan, Zulkepli Abd Wahab, kejayaan semalam menyaksikan skuad Boling Padang Terengganu berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa secara keseluruhan.
“Prestasi pasukan kali ini amat membanggakan dan kita mencapai dua pingat emas yang disasarkan.
“Kemampuan atlet kita juga meningkat walaupun hampir keseluruhan yang mewakili negeri dalam SUKMA kali ini adalah pemain-pemain baru.
“Apa yang menggembirakan, hanya seorang pemain iaitu Nurul Aliya Liyana Alimi yang bakal melepasi usia untuk bersaing dalam SUKMA akan datang, selainnya masih boleh bermain lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nurul Aliya memenangi pingat emas bersama Muhammad Humaidi dalam acara Mix Pairs.
Manakala, pingat gangsa diperolehi oleh Anis Ainul Fatin Bakar (Single Wanita) serta gandingan Muhammad Irsyad dan Muhammad Hafiy Darwisy dalam acara Pairs Lelaki.
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

