
KAJANG, 17 Ogos- Jurulatih Sofbol Terengganu, Wan Mohd Shymin Amirul Wan Mohd Sofli yang jatuh tidak sedarkan diri ketika perlawanan Softbol di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, disahkan meninggal dunia pada jam 8.12 pagi ini.
Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Zuraida Md Nor memaklumkan, pihaknya telah menguruskan proses membawa pulang jenazah Allahyarham dari Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang kira-kira jam 9.00 pagi tadi.
“Dalam 10.30 tadi, jenazah telah dibawa pulang ke Pasir Panjang diiringi isterinya, dan dijangka sampai sekitar 6.00 petang.
“Solat jenazah akan diadakan selepas Isyak di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Long Kemunting, berdekatan rumahnya.
“Segala kos penghantaran pulang akan ditanggung DUN Ladang, kerana beliau di bawah DUN kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mewakili kontinjen Terengganu menguruskan proses membawa pulang jenazah almarhum, dibantu bapa angkat Sukan Sofbol iaitu ADUN Bukit Tunggal, L.Sr. Zaharudin Zahid dan ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah yang turut hadir di lokasi.
Sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham, pihak Sekretariat SUKMA memutuskan supaya bertafakur selama satu minit pada setiap permulaan perlawanan sepanjang saingan SUKMA berlangsung hari ini
Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini

