15/08/2026
MSNT

SUKMA 2026: Skuad Judo Terengganu Bawa Pulang Tiga Perak, Satu Gangsa

msnt sukma 2026 000 002

SHAH ALAM, 14 Ogos – Skuad Judo Terengganu menutup saingan hari ini dengan kutipan tiga pingat perak dan satu gangsa dalam SUKMA Selangor 2026 di IDCC, di sini, hari ini.

Pingat perak disumbangkan Ammar Rafiki Mohd Ridzuwan dalam kategori bawah 55 kilogram (kg) lelaki, Nur Fasha Zazali bagi bawah 44kg wanita dan Muhammad Lokman Hakim Mohamad Asri dalam kategori bawah 60kg lelaki.
Sementara itu, Nur Syaza Irdani menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori bawah 48kg wanita.

Terdahulu, Ammar Rafiki mara ke pusingan akhir kategori bawah 55kg lelaki sebelum tewas kepada wakil Johor dalam aksi penentuan pingat emas, sekali gus membawa pulang perak.

Dalam kategori bawah 44kg wanita pula, Nur Fasha terlebih dahulu menewaskan Ashley Gann dari Penang dengan kelebihan 10 mata pada aksi separuh akhir sebelum tewas kepada wakil Selangor dalam pusingan akhir.
Muhammad Lokman Hakim Mohamad Asri pula menempah laluan ke pusingan akhir kategori bawah 60kg lelaki selepas menewaskan wakil Sabah menerusi Ippon dengan baki masa 3 minit 10 saat.

Bagaimanapun, Lokman Hakim terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Johor dalam aksi akhir.

Bagi kategori bawah 48kg wanita, Nur Syaza Irdani meraih gangsa selepas menewaskan Kelantan dalam pusingan repechage sebelum mengatasi Sarawak dalam pusingan penentu pingat tersebut.

Secara keseluruhan, empat wakil Terengganu berjaya menaiki podium, sekali gus menyumbang tiga perak dan satu gangsa buat kontinjen negeri dalam saingan Judo SUKMA Selangor 2026.

Saingan Judo akan diteruskan esok di gelanggang sama dengan tiga kategori lelaki iaitu bawah 66kg, bawah 73kg dan bawah 81kg serta dua kategori wanita bawah 52kg dan bawah 57kg.

Layari Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk maklumat terkini 

Previous Article

SUKMA 2026: Sukan Berbasikal Downhill Individu Lelaki Dan Wanita 14/08/2026

Next Article

SUKMA 2026: Tahniah Buat Semua Wira Dan Wirawati Kontijen SUKMA Terengganu