TSG Lonjak Nama Terengganu Di Mata Dunia

TSG2020_001

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Pasukan TSG Terengganu Inc Cycling Team (TSG) berjaya melonjakkan nama Terengganu di peringkat dunia serta mengharumkan nama negeri dan rakyat Terengganu dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai dalam bidang lumba basikal.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pasukan tersebut juga dinobatkan pasukan benua terbaik dunia pada tahun lepas.

“Negeri ini menduduki tempat ke-28 daripada 214 pasukan yang bertanding dalam kalendar Union Cycliste Internationale (UCI) termasuk pasukan ‘Pro Continental’ dan ‘Pro Tour’.

“Sejarah telah tercipta apabila pasukan TSG dinobatkan pasukan terbaik seluruh ASIA 2019 yang mana mengulangi kejayaan yang dicapai pada tahun 2012,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dan Memperkenalkan Pelumba Serta Barisan Penaja Pasukan TSG 2020 dan majlis penyampaian hadiah di Pentas Utama Dataran Batu Buruk, semalam.

TSG2020_002

Teks ucapan Menteri Besar itu telah dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali sebagai mewakili beliau.

Menurutnya, pasukan TSG terdiri daripada 16 orang yang mana lapan pelumba tempatan merupakan anak Terengganu dan selebihnya adalah dari luar negara iaitu dari Algeria, Singapura, Russia, Australia, Eritheria, Mongolia, Panama dan juga Colombia.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada 20 penaja kerana sudi menaja pasukan TSG pada musim 2020 yang mana dapat membantu meningkatkan mutu sukan basikal serta menaikkan nama Terengganu dalam bidang sukan basikal profesional di mata dunia.

“Saya amat berharap penaja-penaja akan terus memberikan sokongan dan penajaan kepada TSG pada masa akan datang,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berharap agar para pelumba dan seluruh pengurusan pasukan TSG dapat memberikan usaha seratus peratus untuk meneruskan lagi rentak kemenangan pada masa hadapan.

“Harapan untuk mengekalkan kedudukan pasukan TSG sebagai Pasukan Benua Terbaik Dunia dapat diteruskan sehingga tahun 2020, insya-Allah,” tambah beliau.

Sumber : TEGANUKITA
Oleh: Rohayati Ripin
Foto : TEGANUKITA

Previous Article

Terengganu Berhasrat Lahir Ramai Atlet Bertaraf Dunia

Next Article

Terengganu Kids Champ Ukir Sejarah Himpun 1,500 Peserta