Atlet SUKMA Terengganu dapat ‘durian runtuh’

KUALA TERENGGANU: Seramai 222 atlet dan 165 jurulatih serta pegawai menerima insentif bernilai lebih RM1.5 juta atas pencapaian cemerlang mereka muncul naib juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Lembah Klang, bulan lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ‘durian runtuh’ itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada kontinjen negeri yang menggondol 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa dalam temasya edisi ke-20 itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri menaikkan kadar insentif sebanyak RM500 daripada kadar asal bagi setiap pingat yang dimenangi menjadikan kadar terbaharu RM3,500 bagi emas, RM2,500 (perak) dan RM1,500 (gangsa).

Katanya, atlet kanu, Shahida Asyiqin Rusli, 18, menjadi atlet paling banyak menerima insentif berjumlah RM33,500 serta sebuah jam tangan bernilai RM1,500 selepas mengutip empat emas, tiga perak dan enam gangsa dengan memecah tiga rekod kebangsaan.

“Selain itu, sukan kanu mendapat jumlah insentif terbanyak iaitu RM286,000 selepas berjaya membawa pulang pingat terbanyak dengan kutipan lima emas, lapan perak dan 17 gangsa diikuti berbasikal yang menerima insentif keseluruhan RM194,000 selepas menyumbang emas terbanyak dengan kutipan sembilan emas, 12 perak dan lima gangsa.

“Walaupun kita tidak berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan, tapi kerajaan negeri tetap berbangga kerana jumlah kutipan pingat melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi dengan insentif itu mampu menyuntik semangat atlet lain dalam misi merampas kembali kejuaraan SUKMA edisi ke-21 yang bakal berlangsung di Johor pada 2024,” katanya pada Majlis Apresiasi Kontinjen Sukma Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam, dekat sini, sebentar tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, ketua kontinjen SUKMA, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya.

Dalam majlis itu, Ahmad Samsuri turut melancarkan penubuhan Sekretariat Kebajikan Atlet Negeri Terengganu (SUKANT) dengan penyerahan dana permulaan sebanyak RM100,000 kepada pengarah MSNT.

“Objektif utama penubuhan SUKANT adalah untuk menjaga hal-hal berkaitan kebajikan, amal dan kesejahteraan, pendidikan berterusan serta pembinaan kerjaya bagi ahli dalam kalangan atlet dan bekas atlet anak jati Terengganu yang mewakili negeri dalam kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan SUKMA.

“SUKANT ini juga berperanan sebagai perantara dan ‘one stop centre’ bagi segala urusan berkaitan ahli yang akan diselaraskan oleh MSNT,” katanya.

SUMBER: Berita Harian

Previous Article

Terengganu Sasar 2024 Semua Atlet Wanita Berpenampilan Patuh Syariah

Next Article

SUKSEM 2022: Skuad E-Sport Terengganu Naib Juara PUBG