Kejurulatihan & Teknikal

Peranan yang dimainkan oleh jurulatih-jurulatih tidak pernah dipandang rendah oleh MSNT. Matlamat jangka panjang adalah untuk melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan, pegawai sukan dan pegawai teknikal yang bertauliah untuk memenuhi keperluan pembangunan sukan Negeri Terengganu hingga ke akar umbi.

Unit Kejurulatihan bertanggungjawab untuk membangunkan kumpulan jurulatih dan pegawai teknikal mengikut keperluan pembangunan sukan Negeri Terengganu. Di samping mengadakan kursus-kursus kejurulatihan bagi memperkaya dan mempertingkatkan kualiti jurulatih-jurulatih dan pegawai teknikal, unit ini juga bertanggungjawab mengkaji dan menilai keperluan-keperluan jurulatih luar Negara diambil untuk berkhidmat di negeri ini.

Untuk tahun 2012, 72 orang jurulatih telah dilantik yang terdiri daripada 34 jurulatih sepenuh masa dan 38 jurulatih sambilan bagi 24 jenis sukan. Di samping itu, seramai 7 orang jurulatih luar negara juga turut diambil berkhidmat terutama dalam sukan-sukan yang memerlukan kemahiran spesifik yang tinggi juga bagi sukan-sukan yang belum pernah menyumbang pingat kepada negeri di peringkat kebangsaan atau SUKMA.


Persediaan SUKMA

Sukan Malaysia atau ringkasnya SUKMA sebelum ini adalah temasya sukan dwi-tahunan yang berprestij di negara ini. Temasya ini bermula tahun 1986 dan mulai tahun 2011 Sukan Malaysia telah diadakan setiap tahun dengan penggiliran jenis-jenis sukan yang berlainan. Walaupun temasya ini telah diadakan pada setiap tahun, namun pusingan pertandingan bagi setiap jenis sukan adalah dua (2) tahun sekali juga.

Sukan-sukan Bolasepak, Akuatik, Berbasikal dan Bola Tampar sahaja yang dipertandingkan setiap tahun namun dalam disiplin yang berbeza sebagai contoh Akuatik disiplin Polo Air dan Renang Berirama dipertandingkan tahun 2011 dan tahun-tahun ganjil yang lain, manakala disiplin Renang dan Terjun akan dipertandingkan tahun 2012 dan tahun-tahun genap seterusnya.

Sukan Malaysia yang telah diadakan setiap tahun ini memberi peluang kepada semua jenis sukan untuk dipertandingkan dalam SUKMA satu temasya sukan yang berprestij serta memberi peluang kepada pembangunan sukan yang yang seimbang bagi semua jenis sukan di negara ini.

Sukan Malaysia juga dilihat sebagai wadah atau medan yang terbaik untuk melahirkan atlet-atlet berpotensi tinggi jika semua negeri memberi tumpuan yang serius untuk membangunkan atlet-atlet negeri masing-masing.

Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk mengubah paradigma pembangunan sukan negeri ini dari yang secara ‘ad-hoc’ kepada yang lebih tersusun, dari program jangka pendek kepada program jangka panjang yang lebih konsolidated, dari pengelolaan persatuan-persatuan sukan yang lemah secara persendirian kepada program bersama antara Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri dengan persatuan-persatuan sukan negeri juga dengan kerjasama erat dengan Jabatan Pelajaran Negeri.

Program Penyediaan Atlet negeri secara terancang, tersusun dan berbentuk jangka panjang telah bermula pada tahun 2006 semasa negeri menyediakan satu kontinjen yang berwibawa untuk SUKMA XII Terengganu 2008. Kesan limpah kepada program tersebut telah dapat dilihat dalam SUKMA XIII Melaka 2010 dan juga SUKMA XIV Kuala Lumpur 2011.

Kontinjen Terengganu yang sebelumnya pada tahun 1998 menduduki tempat keenam satu kedudukan yang terbaik dan pada tahun 2006 memunggut 15 pingat emas satu pungutan emas tertinggi dalam sejarah penyertaan SUKMA sebelum menjadi tuan rumah.

Apabila menjadi tuan rumah Kontinjen Negeri Terengganu, meraih 61 (15.02%) pingat emas, 39 (9.73%) perak dan 47 (9.31%) pingat gangsa. Jumlah pingat emas yang dikutip tersebut hampir sama dengan jumlah pingat-pingat emas yang dikutip sejak penyertaan SUKMA 1986 hingga 2006 yang berjumlah 65 pingat kesemuanya.


Program Tunas Harapan

Program Tunas Harapan merupakan program pembangunan bakat sukan di kalangan pelajar berumur 9 – 14 tahun yg dilaksanakan bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia Terengganu. Program ini telah bermula sejak tahun 1991. Pada tahun tersebut 10 jenis sukan terlibat dengan 16 buah pusat latihan terlibat di semua daerah. Sukan-sukan tersebut adalah Badminton, Olahraga, Lumba Basikal, Memanah, Ping Pong, Renang, Sepaktakraw, Silat Olahraga, Taekwondo dan Tenis.

Dalam jangkamasa 6 tahun selepas itu, 18 pusat baru telah dibuka di daerah-daerah dengan penambahan 5 jenis sukan baru. Sukan-sukan tersebut adalah Bolasepak, Golf, Kayak, Angkat Berat dan Tinju.

Dalam Pelan Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu, Program Tunas Harapan telah dijadikan sebahagian daripada keseluruhan struktur pembangunan tersebut.

Program ini bertujuan untuk mengenalpasti serta melatih atlet-atlet muda yang berbakat di sekolah dalam tapak “base” yang besar. Atlet-atlet ini kemudiannya akan menjadi “feeder group” kepada program pembangunan sekolah, program pelapis negeri, program SUKMA juga program atlet elit. Dalam masa yang sama kumpulan atlet-atlet ini dilatih untuk memenuhi keperluan atlet-atlet sekolah negeri, atlet-atlet Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia, atlet-atlet sekolah ASEAN, atlet-atlet SUKMA, atlet-atlet kebangsaan dan atlet-atlet juara dunia.

Mereka ini melalui proses pengenalpastian bakat, pemilihan atlet, ujian dan pemeriksaan, menjalani latihan bersistem, pendedahan latihan dan pertandingan serta pemantauan dan penilaian.

Buat beberapa tahun yang lalu program ini terhenti kerana MSNT telah memberi fokus yang sepenuhnya kepada penyediaan kontinjen SUKMA 2008 apabila Negeri Terengganu menjadi tuan rumah.

Terbukti atlet-atlet daripada Program Tunas Harapan ini telah memberi sumbangan yang besar kepada kejayaan kontinjen SUKMA 2008 buat pertama kalinya. Menyedari hakikat ini, Program Tunas Harapan dihidupkan kembali pada tahun 2009 bermula dengan skop yang kecil kerana kekangan kewangan. Sukan-sukan yang terlibat adalah olahraga, sepak takraw, pencak silat, perahu layar dan hoki. Sukan-sukan lawn bowls, badminton, kanu dan angkat berat juga telah dipertimbangkan berada dalam program ini walaupun pusat-pusat latihannya adalah terhad kepada daerah Kuala Terengganu sahaja. Namun begitu, bilangan pusat-pusat latihan ini akan ditambah dari masa ke semasa bergantung kepada kemudahan dan pertambahan peruntukan.


Kebajikan Atlet

Kerajaan Negeri memberi perhatian khusus kepada kebajikan atlet-atlet Negeri Terengganu dengan menyediakan berbagai skim kebajikan dan skim insentif kepada mereka. Tidak ada negeri lain yang memberi berbagai insentif kepada warga sukan mereka sebagai mana yang diberikan oleh kerajaan negeri ini. Tidak kurang daripada sepuluh (10) skim insentif bagi kebajikan atlet yang ada seperti mana di bawah :

• Elaun Latihan
• Elaun Bintang
• Bantuan Peralatan Latihan
• Skim Penggiat Sukan (SPS)
• Pakej Skim Biasiswa (Biasiswa, Bayaran Asrama dan Tuisyen)
• Skim Wakil Negara (SWARA)
• Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE)
• Skim Kemenangan SUKMA
• Hadiah Kemenangan Segera SUKMA
• Skim Kemenangan Khas SUKMA (lawatan ke luar negara)

Elaun Latihan diberikan kepada atlet-atlet SUKMA secara bulanan dan amaunnya bergantung kepada fasa latihan.

Elaun Bintang pula diberikan kepada atlet-atlet yang telah memenangi pingat di SUKMA atau kejohanan-kejohanan antarabangsa tahun sebelumnya. Kelayakan-kelayakan lain ditetapkan dalam skema dan pemberian elaun ini juga diberi secara bulanan.

Skim Penggiat Sukan diberikan kepada atlet-atlet yang masih aktif tetapi sudah berada dalam pasaran pekerjaan.

Skim Wakil Negara (SWARA) adalah bantuan kewangan yang diberikan kepada atlet-atlet negeri yang terpilih mewakili negara di kejohanan antarabangsa.

Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) adalah insentif berupa kewangan yang diberikan kepada atlet-atlet negeri yang meraih pingat kemenangan di peringkat antarabangsa.

Skim Kemenangan SUKMA dianugerahkan kepada atlet-atlet, pegawai-pegawai, jurulatih dan persatuan sukan negeri yang meraih pingat kemenangan dalam SUKMA. Amaun skim ini diputuskan oleh pucuk pimpinan negeri bersesuaian dengan tahap pencapaian.

Skim Kemenangan Khas SUKMA diberikan kepada atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen SUKMA yang berjaya meraih kejayaan Juara Keseluruhan SUKMA. Skim ini biasanya berupa hadiah lawatan ke luar negara. Tahun 2012 merupakan pemberian Skim Kemenangan Khas SUKMA yang teristimewa oleh kerajaan negeri dengan menghantar pemenang-pemenangnya mengerjakan umrah.

Di samping pemberian insentif-insentif tersebut kepada atlet-atlet negeri, atlet-atlet yang mengalami kecederaan serius diberi rawatan kelas pertama. Setiap orang atlet, jurulatih dan pegawai juga dilindungi dengan insurans berkelompok.

Pada tahun 2012 seramai 280 (151 atlet Sekolah Sukan Bukit Nenas dan 129 atlet-atlet SUKMA yang lain) telah menikmati skim biasiswa sukan negeri.

Majlis Sukan Negeri telah mengambil insiatif mewujudkan persefahaman dengan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat-pusat latihan kemahiran di negeri Terengganu bagi memberi laluan mudah kemasukan ke institusi mereka walaupun dengan memperolehi kelayakan akademik yang minima. Persefahaman ini dikenali dengan Program Kecemerlangan Akademik Atlet Negeri Terengganu.

Program ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada atlet-atlet negeri meneruskan pengajian di IPT-IPT bagi yang layak atau menjalani latihan-latihan kemahiran spesifik di pusat-pusat kemahiran bagi yang memiliki kelulusan akademik yang rendah. Pemilihan IPT-IPT dan pusat-pusat kemahiran dalam negeri juga bertujuan untuk memastikan atlet berada dalam sistem latihan yang panjang. Ini bertepatan dengan keperluan latihan sukan prestasi tinggi yang memerlukan tempoh latihan yang panjang memandangkan negeri ini pernah kehilangan potensi-potensi atlet yang hebat apabila mereka memasuki pusat-pusat pengajian tinggi di luar negeri.

Majlis juga tidak pernah melupakan jasa-jasa atlet-atlet dan pegawai yang telah mengharumkan nama negeri dan Negara dalam bidang sukan. Saban tahun mereka dicalonkan untuk menerima pingat kebesaran negeri sempena Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.


Pembangunan Organisasi

Peranan Majlis Sukan bukan sahaja untuk membangunkan sukan secara keseluruhan tetapi juga berperanan memberi galakan dan membantu pembangunan organisasi persatuan-persatuan sukan negeri. Sukan Malaysia merupakan sukan berprestij negara yang mempertandingkan sekurang-kurang 44 jenis sukan melibatkan 19 jebis Sukan Wajib dan 25 Sukan Pilihan. Ini bermakna sekurang-kurangnya jumlah persatuan yang sama perlu dibangunkan secara serentak dengan efektif. Jika ada mana-mana persatuan yang tidak aktif sudah tentu sukannya tidak dapat dibangunkan dengan berkesan. Hasilnya pencapaian yang diharapkan di Sukan Malaysia tidak seberapa atau tidak mampu langsung membentuk pasukannya.

Walaupun persatuan-persatuan sukan negeri bergerak secara sukarela di bawah status amatur, namun sukan masa kini memerlukan sukarelawan profesional bagi mencapai kecemerlangan di zaman sains dan penyelidikan menjadi faktor kepada kejayaan. Pengurusan persatuan sukan masa kini perlu ada pegawai-pegawai yang berkhidmat secara sepenuh masa. Menyedari hakikat ini Majlis melalui Ahli Majlis dan Lembaga Pengurus MSNT telah meluluskan bantuan bulanan kepada semua setiausaha-setiausaha persatuan gabungan sebanyak RM200 sebulan dengan syarat persatuan sukan yang dipimpinnya sah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan.

Sebanyak 49 persatuan sukan negeri termasuk 7 Majlis Sukan Daerah dan sebuah Majlis Sukan sekolah-Sekolah Malaysia Terengganu (MSST) bergabung dengan Majlis sebelum ini. Empat (4) buah persatuan sukan negeri telah dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) manakala sebuah lagi telah diberi surat tunjuk sebab kerana tidak mematuhi peraturan PJS. Persatuan yang telah dibatalkan pendaftarannya adalah Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu, Persekutuan Wushu Tarian Singa-Naga Negeri Terengganu, Persatuan Tinju Amatur Terengganu dan International Taekwondo Federation (ITF) manakala Persatuan Memanah Negeri Terengganu Darul Iman telah diberi surat tunjuk sebab.


STET

Sukan berkuda telah lama berkembang di negeri Terengganu secara berasingan atau melalui kelab-kelab persendirian. Sejak sukan ini dipertandingkan di Sukan Malaysia bermula tahun 2008, program pembangunannya dilaksanakan sebagaimana sukan-sukan lain. Oleh kerana sukan ini memerlukan kos yang tinggi, pengurusan secara berasingan telah diletakkan di bawah badan State of Terengganu Endurance Team (STET) dan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Badan ini telah diletakkan di bawah kawalan Majlis Sukan Negeri bagi memudahkan penyaluran peruntukan Kerajaan Negeri.

Minat dan keperihatinan DYMM Sultan Terengganu dan keluarga dalam sukan berkuda menjadikan sukan ini berkembang pesat serta pembangunan infrastruktur yang terbaik melengkapi keperluan sukan yang eksklusif ini. Negeri Terengganu mempunyai dua (2) venue latihan bertaraf antarabangsa iaitu Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong terutamanya untuk displin Endurance dan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai khusus untuk displin Dressage dan Show Jumping.

Aktiviti sukan ini bernaung di bawah Persatuan Ekuestrian Negeri Terengganu dan merupakan negeri yang paling aktif menjalankan aktiviti-aktiviti dan pertandingan peringkat negeri, kebangsaan juga antarabangsa berbanding dengan negeri-negeri lain.

Tidak hairanlah pada tahun 2012 sukan Ekuestrian telah keluar sebagai juara keseluruhan di Sukan Malaysia dengan meraih 3 emas daripada 6 acara yang dipertandingkan. Kejayaan ini telah disokong oleh program –program dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh STET.


Terengganu City Night Games

Terengganu City Night Games (TCNG) dianjurkan dengan matlamat untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat. Kebanyakan sukan-sukan yang dianjurkan dalam program ini pada mulanya terdiri daripada sukan-sukan massa dan sukan-sukan lasak. Tugas ini sebenarnya bukanlah tugas hakiki Majlis kerana sukan massa diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Belia dan Sukan atau portfolio Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri. Sungghpun begitu Majlis mengambil kesempatan untuk menarik minat ibubapa dan masyarakat negeri ini dalam kegiatan sukan dan riadah. Hasilnya kesedaran dan budaya sukan di kalangan masyarakat negeri Terengganu telah mula berkembang. Impak positif yang diperolehi melalui penglibatan ini adalah para ibubapa di negeri ini sudah memberi sokongan dalam membenarkan anak-anak mereka bergiat dalam sukan termasuk sukan prestasi tinggi dengan lebih baik.

TCNG juga mengalami perubahan apabila sukan-sukan massa mula dikurangkan dan diganti dengan sukan-sukan prestasi tinggi termasuklah sukan-sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA. Bagi meneruskan kesinambungan pembangunan sukan di awal umur, pertandingan-pertandingan dalam TCNG telah dibuka kepada atlet-atlet di bawah program Tunas Harapan. Beberapa sukan massa dan sukan lasak masih diteruskan dalam program ini bagi tujuan mengekalkan minat ibubapa dan masyarakat setempat selaras dengan matlamat utamanya untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat Negeri Terengganu.

Untuk tahun 2012, sebanyak lapan (8) siri TCNG telah dianjurkan yang melibatkan sukan-sukan seperti berikut :

• TCNG 1 (27 – 28 Januari 2012)
Sukan : Bowling, Olahraga (Trek), Angkat Berat, Pencak Silat, Berbasikal, Hoki, Lawn Bowls, Sepaktakraw, Motocross, Drift, Remote Control Car, Minibike dan Dam Aji.

• TCNG 2 (17 – 18 Februari 2012)
Sukan : Bowling, Bolasepak, Olahraga (Padang), Akuatik, Pencak Silat, Badminton, Lawn Bowls, Sepaktakraw, Motocross, Drift, Remote Control Car, Minibike dan Catur.

• TCNG 3 (16 – 17 Mac 2012)
Sukan : Ekuestrian, Menembak, Karate, Perahu Layar, Pencak Silat, Badminton, Lawn Bowls, Sepaktakraw, Bowling, Motocross, Drift, Remote Control Car dan Minibike.

• TCNG 4 (20 – 20 April 2012)
Sukan : Menembak, Ekuestrian, Memanah, Perahu Layar, Pencak Silat, Berbasikal, Hoki, Lawn Bowls, Petanque, Bowling, Motocross, Drift, Remote Control Car dan Minibike.

• TCNG 5 (18 – 19 Mei 2012)
Sukan : Menembak, Badminton, Petanque, Ekuestrian, Pencak Silat, Berbasikal, Hoki, Lawn Bowls, Sepaktakraw, Bowling, Motocross, Drift, Remote Control Car, Minibike dan Auto Show.

• TCNG 6 (15 – 16 Jun 2012)
Sukan : Menembak, Badminton, Petanque, Ekuestrian, Pencak Silat, Berbasikal, Hoki, Lawn Bowls, Sepaktakraw, Bolasepak, Motocross, Drift, Remote Control Car, Minibike dan Motor Show.

• TCNG 7 (14 – 15 September 2012)
Sukan : Olahraga (Trek), Menembak, Petanque, Badminton, Pencak Silat, Berbasikal, Hoki, Lawn Bowls, Sepaktakraw, Bolasepak, Motocross, Drift, Remote Control Car, Minibike dan Motor Show.

• TCNG 8 (19 – 20 Oktober 2012)
Sukan : Olahraga (Padang), Menembak, Petanque, Badminton, Pencak Silat, Berbasikal, Hoki (W), Lawn Bowls, Sepaktakraw, Bolasepak, Touch Rugby, Motocross, Drift, Minibike dan Motor Show.


Panel Kejurulatihan

Majlis menyedari kekangan yang dihadapi dalam penjawatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan yang tidak mempunyai kelulusan spesifik samada dalam pengurusan sukan atau sains sukan. Mereka semata-mata bergantung kepada pengalaman mengurus dan bergiat dalam sukan-sukan tertentu. Sungguhpun begitu, pegawai dan kakitangan ini mahir dalam pengurusan dan keperluan sebenar sukan-sukan dibawah kawalan.

Kemajuan dan teknologi sukan masa kini berkembang begitu pesat mengikut arus kemajuan sukan antarabangsa. Oleh itu, keperluan ilmu sukan teknologi terkini perlu diterokai oleh setiap pegawai dan kakitangan Majlis. Menyedari hakikat ini, Majlis telah mengambil langkah berani dalam membentuk sebuah Panel Kejurulatihan Negeri Terengganu yang bertujuan untuk berkongsi ilmu kesukanan masa kini, di samping membantu memantau dan meningkatkan kualiti kejurulatihan yang terlibat.

Penubuhan panel ini telah diluluskan oleh ahli Majlis dan Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu yang bersidang pada 6hb September 2010. Ahli-ahli panel terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan sukan-sukan tertentu juga dalam aspek sains sukan dan sukan spesifik.

Senarai ahli sehingga 31 Disember 2012 adalah :

• Haji Zainal Abidin bin Hussin - Penasihat
• Dr. Razali bin Abdullah – Pengerusi
• Haji Mohamad Yunus bin Ibrahim
• Dr. Sidek bin Harun
• Haji Mohamad Rafee bin Jusoh
• Haji Ibni Amin bin Busu
• Hasmadi bin Ghaza
• Rodzi bin Mohamed
• Wan Hamidah binti Wan Endut
• Haji Abu Zarin bin Abu Bakar
• Tengku Norazlan bin Engku Sulaiman
• Ahmad Jailani bin Halus
• Che Ishak bin Haji Ismail
• Haji Khalid bin Mohamad
• Haji Othman bin Ismail
• Chee Geok Song
• Ab. Razak bin Yacob
• Yan Kong Lee
• Tan Chong Huat
• Shaari bin Bidin
• Nasarudin bin Wan Idrus
• Asari bin Abdullah
• Mat Noor bin Bidin
• Mohd Nayan bin Ibrahim
• Abdullah bin Taib
• Ab. Rashid bin Jusoh
• Mohamad bin Jusoh
• Ros’haimi bin Mohd Yusof
• Mohd Noor bin Yusof
• Che Rusdi bin Che Mat

14.1.4 Program/Aktiviti

• Konvensyen Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu pada 24.12.2009
• Pemantauan latihan Sukma
• Bengkel/Kursus/Kem Jurulatih dan atlet
• Pengujian kecergasan atlet
• Penerbitan buletin sukan MSNT
• Ke arah penubuhan Kolej Universiti Kinesiologi Sultan Mizan (KUKSM)


Akademi Bola Sepak

Akademi Bolesepak Negeri Terengganu (ABNT) ini telah di ilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said Menteri Besar Terenggan dan diluluskan penubuhanya dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (MMKN) kali yang ke 29 Tahun 2012.

Tujuan akademi ini ditubuhkan adalah untuk melahirkan pemain bola sepak yang cemerlang hingga ke peringkat tertinggi dengan dokongan kemampuan untuk membina kerjaya serta akademik yang seimbang yang boleh menjamin masa depan. Akademi ini juga menyediakan pemain-pemain pelapis di semua peringkat umur yang dapat menampung keperluan semasa seperti Liga Super, Liga Perdana, Liga FAM, Piala Presiden, Belia, SUKMA dan MSSM serta mempunyai struktur ‘feeder’ yang kukuh di semua daerah.

Pengurusan Akademi ini diketuai oleh seorang Pengarah Operasi, seorang Pengawai Pengurusan Akademi, seorang Ketua Jurulatih, seorang Pembantu Pengurusan Akademi, seorang Pengurus Korporat dan seorang Pengurus Pertandingan. Pada masa ini, pengurusan akademi dikendalikan oleh seorang Ketua Jurulatih dibantu oleh 26 pembantu jurulatih di daerah-daerah manakala jawatan-jawatan yang lain belum diisi, oleh itu perlaksanaannya masing belum sepenuh. Ketua Jurulatih yang pertama ialah Che Ku Marzuki bin Che Ku Mohd Nor yang dilantik secara kontrak selama satu tahun bermula pada 1 Disember 2011. Beliau telah melepaskan jawatannya pada 31 Disember 2012 kerana terpilih sebagai Penolong Jurulatih Pasukan Liga Super T-Team. Kini jawatan ini telah dipegang oleh Encik Mohd Nor bin Bidin.

Pencarian bakat telah mula dibuat pada 1 Januari 2012 diadakan -di setiap daerah dikendalikan oleh Ketua Jurulatih dengan dibantu oleh pembantu jurulatih untuk memilih atlet yang berumur 13 hingga 21 tahun.


Akademi Badminton

Sukan badminton tidak pernah menyumbangkan sebarang pingat kepada kontinjen Terengganu sepanjang temasya SUKMA diadakan. MSNT melihat situasi ini sebagai satu kegagalan yang nyata dalam pembangunan sukan di negeri ini. Atas alasan inilah Akademi Badminton Negeri Terengganu (Jagoan Badminton Dalam Pembikinan) ditubuhkan pada tahun 2011. Matlamat utama penubuhan akademi ini adalah untuk penyediaan atlet-atlet kepada program badminton secara berstruktur seterusnya menjadi kelangsungan kepada kejayaan cemerlang sukan ini dalam dan luar Negara.

Usaha-usaha beterusan dalam pencarian bakat, program unjuran berkesan dan program sokongan yang menyakinkan perlu diadakan bagi menjamin kecemerlangan sukan Terengganu. Beberapa sesi Program Pemcarian Bakat (TID) telah diadakan sepanjang tahun 2011 dalam usaha mengenalpasti bakat-bakat yang diketengahkan dalam sukan ini.

MSNT telah melantik 2 orang jurulatih luar negara iaitu Sunarno Martotioso dan Ardi Wiranata Arifin (kedua-duanya dari Indonesia) sebagai jurulatih sepenuh masa dalam program ini dengan harapan mereka dapat mempertingkatan mutu badminton di Terengganu untuk kemajuan sukan tersebut pada masa akan datang. Kedua-dua jurulatih ini turut dibantu oleh seramai 8 orang jurulatih tempatan yang ditempatkan di setiap daerah.


Pusat Latihan Angkat Berat

Pusat Latihan Angkat Berat telah diwujudkan pada pertengahan bulan September 2012 bermatlamat untuk pencarian bakat baru atlet dari kalangan generasi muda untuk diketengahkan sebagai persediaan untuk tahun-tahun akan datang.

Selain dari itu, penubuhan pusat latihan ini juga bertujuan pengenalpastian dan pengumpulan atlet-atlet baru Angkat Berat untuk diserapkan ke dalam program pembangunan di peringkat sekolah.

Seramai enam (6) orang jurulatih telah dilantik untuk program ini bagi member tunjuk ajar serta mendidik atlet-atlet yang dipilih ke program ini. Terdapat 3 pusat latihan telah dibuka yang melibatkan 65 orang atlet iaitu :

• SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu
• SMK Komplek Mengabang Telipot, Kuala Terengganu
• Majlis Sukan Negeri Terengganu (Pembangunan)


Program Pembangunan Ping Pong

Sepanjang penglibatan dalam temasya SUKMA, pencapaian terbaik Terengganu dalam sukan Ping Pong ialah memenangi pingat gangsa pada SUKMA XII 2008 dalam acara berpasukan lelaki. Di samping itu, atlet Paralimpik negeri, Mohammad Azwar Bin Bakar telah berjaya layak ke Olimpik di London 2012 secara merit bagi acara ping pong telah bahawa atlet negeri Terengganu juga boleh berjaya di persada dunia jika dibuat pembangunan yang betul daripada peringkat akar umbi.

Atas kesedaran itulah maka tertubuhnya Program Pembangunan Ping Pong Negeri Terengganu (Penyediaan Pasukan Ping Pong ‘Dream Team’) ditubuhkan yang bermatlamat untuk penyediaan program latihan yang lebih berstruktur dan menjadi platform bagi melahirkan atlet Terengganu yang berwibawa ke arah penyediaan atlet SUKMA dan pemain negeri Terengganu masa hadapan.

Untuk memulakan program ini, satu Program Pencarian Bakat (TID) program ini bagi atlet-atlet di bawah umur 12 tahun telah diadakan di seluruh Negeri Terengganu pada akhir bulan Oktober hingga awal November 2012 yang lalu dengan mendapat penyertaan seramai 155 orang pelajar sekolah rendah di seluruh negeri Terengganu. Seramai 18 orang pelajar telah terpilih untuk menyertai program pembangunan ini secara sepenuh masa bermula dari tahun 2013 dan akan ditempatkan di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas.

Seramai tujuh (7) orang pelajar yang terpilih itu telah ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Nenas dan dilatih oleh jurulatih tempatan khas yang dilantik khusus untuk pembangunan. Manakala bakinya seramai sebelas (11) orang telah ditempatkan secara bertaburan di daerah masing-masing. Pemain-pemain yang berlatih di Sekolah Sukan Bukit Nenas telah diberi kemudahan tuisyen sebagai nilai tambah kepada pembelajaran mereka.

Majlis juga bercadang untuk mengambil jurulatih luar Negara untuk ditempatkan dalam program ini bagi merangka dan melaksanakan program latihan yang lebihberkualiti. Fasa ke dua program ini iaitu pembangunan secara menyeluruh ke semua daerah akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2014. Sebanyak lapan (8) pusat latihan akan dibuka dengan tujuh (7) daripadanya akan diletakkan di daerah-daerah dengan Sekolah Sukan Bukit Nenas akan dijadikan pusat pembangunan dan pentadbiran program ini.

Dalam program ini, dua buah pasukan akan dibentuk iaitu pasukan lelaki dan pasukan wanita melibatkan atlet-atlet yang berumur 13 tahun ke atas. Pemilihan atlet akan dilakukan setiap akhir tahun melalui pelaksanaan program TID.

Program Pembangunan Ping Pong Negeri Terengganu merangkumi :

• TID Ping Pong Bawah 12
• Pembangunan Sekolah/Daerah
• Program Pelapis Negeri
• Penyediaan Atlet SUKMA
• Pasukan Elit Negeri


USTPN

Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) Terengganu yang beroperasi sejak tahun 2008 ditubuhkan bertujuan untuk melaksanakan Program Pelapis Negeri bagi 19 jenis sukan terpilih. Unit ini adalah susulan daripada pengstrukturan semula unit di Majlis Sukan Negara daripada Unit Sukan Teras kepada Unit Sukan Prestasi Tinggi. Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Terengganu kini telah beroperasi sepenuhnya di Gerbang Sukan Negeri Terengganu dan Berjaya menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna kerana mendapat kerjasama dan sokongan yang baik daripada pelbagai pihak seperti Majlis Sukan Negeri, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Persatuan Sukan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

USPTN Terengganu buat masa ini mempunyai 5 orang pegawai pembangunan sukan yang dibahagikan 3 hingga 4 jenis sukan bagi setiap pegawai. Secara keseluruhannya, pegawai berkenaan telah berjaya melaksanakan segala tugas yang telah dipertanggungjawabkan dengan berkesan dan berjaya kerana ramai atlet-atlet cemerlang Terengganu telah lahir daripada program ini. Kakitangan sokongan di USPTN Terengganu adalah seramai 2 orang yang ditugaskan bagi tugas-tugas pentadbiran dan kewangan.

UPSTN Terengganu banyak menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri ini melalui pengkongsian program pembangunan sukan dan jurulatih serta peyertaan ke kejohanan-kejohanan secara bersama. MSNT pula menyumbang kepada USPTN melalui pemberian ruang pejabat dan peruntukan tambahan kewangan kepada budget USPTN yang sedia ada serta penambahan kepada elaun-elaun jurulatih.


Pusat Satelit ISN

Pusat Satelit ISN Terengganu merupakan organisasi cawangan di negeri kepada Institut Sukan Negara Malaysia (ISNM) yang berpusat di Bukit Jalil, Pusat Satelit ISN Terengganu dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima iaitu YAB Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada tanggal 15 Januari 2009. Pusat Satelit ISN Terengganu ini merupakan Pusat Satelit yang kelima ditubuhkan di seluruh Malaysia selepas Sarawak, Pulau Pinang, Sekolah Sukan Bandar Penawar dan Johor. Penubuhan ini bertujuan untuk mempromosikan dan memberi khidmat Sains Sukan dan Perubatan Sukan kepada atlet di peringkat negeri selain berkerjasama dengan Majlis Sukan Negeri dan agensi-agensi sukan yang untuk menyampaikan Pengetahuan Sains Sukan dan Perubatan Sukan di peringkat negeri.

Dengan menerajui penggunaan aplikasi sains, perubatan dan inovasi sukan ini adalah selaras dengan matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan dan untuk meningkatkan imej negeri melalui pendekatan yang lebih saintifik untuk kemajuan sukan seperti yang digariskan dalam dasar Sukan Negara.

Pada tahun 2012, Pusat Satelit ISN Terengganu memberikan penumpuan perkhidmatan sains sukan yang lebih berkesan kepada para jurulatih dan peningkatan prestasi atlet serta pembangunan sukan di negeri Terengganu. Bermula bulan Januari sehingga Jun, semua aktiviti dan program giat dijalankan oleh para pegawai dan kakitangan Pusat Satelit ISN Terengganu kepada para jurulatih dan atlet Terengganu untuk persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA XIV) Pahang 2012 yang bermula pada bulan Julai. Ini sejajar dengan program latihan atlet SUKMA Terengganu yang sudah memasukki fasa akhir latihan iaitu dari Disember 2011 sehingga bermulanya Sukan Malaysia XV Pahang 2012 pada bulan Jun 2012.

Bagi merealisasikan hasrat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Pusat Satelit ISN Terengganu mempergiatkan usaha merancang program-program untuk membantu atlet dan jurulatih dalam aspek Sains Sukan. Segala perancangan oleh MSNT berkaitan perkhidmatan sains sukan diselaraskan dan para pegawai Pusat Satelit memberi komitmen yang terbaik kepada sukan-sukan yang memerlukan khidmat Sains Sukan dari Pusat Satelit ISN Terengganu. Berkat daripada hasil usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh MSNT dan pelbagai pihak termasuk perkhidmatan dari Pusat Satelit ini sendiri untuk melihat kecemerlangan atlet negeri, Terengganu akhirnya berjaya mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) XV 2012 di Pahang buat kali keempat berturut-turut dengan merangkul sebanyak 62 pingat emas, 24 pingat perak dan 31 pingat gangsa.

Selain memberikan perkhidmatan kepada atlet-atlet SUKMA, Pusat Satelit ISN Terengganu juga dijemput oleh pihak sekolah mengendalikan sepenuhnya Ujian Kecergasan kepada pelajar-pelajar atau atlet-atlet di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas selama dua hari pada bulan Januari 2012. Pusat Satelit Terengganu juga terlibat dalam membantu program usahasama antara Majlis Sukan Negeri (MSNT) dan Unit Mengenalpasti Bakat ISN ‘Sport Promotion and Athlete Development’ (SPADE) menjayakan program Tunas Harapan iaitu mencari pelapis dalam sukan-sukan tertentu di seluruh daerah negeri Terengganu yang diadakan pada 8 hingga 23 April yang lepas. Bermula September 2012, Pusat Satelit ISN Terengganu mula merancang program-program sains sukan ke arah persiapan dan persediaan atlet negeri ke Sukan Malaysia.